Tuesday, July 21, 2026

Isu miliki saham: Azam sedia disiasat jawatankuasa bebas

Segala pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan...

Mesti Baca

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung perkara berkaitan pemilikan sahamnya.

Menurut beliau, segala pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata, pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadinya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.

Tambah beliau, SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.

“Saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang serta akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan