PERUNTUKAN sebanyak RM2.29 bilion yang diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi tahun ini merupakan yang terbesar sejak penubuhannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, jumlah tersebut merangkumi RM1.09 bilion bagi Belanja Mengurus (OE) dan RM1.2 bilion lagi untuk Belanja Pembangunan (DE).
Menurut berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 101.43 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, ini sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama keselamatan maritim negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Tumpuan pada tahun 2026 adalah kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden supaya kehadiran Maritim Malaysia di perairan negara dirasai,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 Maritim Malaysia, di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim; Pemangku Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah-Pengarah Bahagian serta Pengarah-Pengarah Maritim Negeri.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Rosli berkata, agensi itu merekodkan nilai rampasan berjumlah RM102.9 juta hasil daripada 248,058 pemeriksaan, melibatkan 1,124 kes tangkapan dan rampasan bagi pelbagai kesalahan undang-undang maritim bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun 2025.
Bagi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pula, beliau memaklumkan Maritim Malaysia telah mengendalikan 255 kes insiden di laut dengan 1,765 nyawa berjaya diselamatkan, selain nilai harta benda yang diselamatkan dianggarkan mencecah RM1.8 bilion.
Mengulas lanjut hala tuju 2026, Mohd Rosli berkata, KDN telah menetapkan sasaran hari operasi di laut ditingkatkan kepada 280 hari berbanding 250 hari pada 2025, selari dengan keperluan memperkukuh kehadiran berterusan Agensi ini di perairan negara.
Selain itu, fokus 2026 turut terarah kepada perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pelan penggantian kenderaan operasi serta pembinaan dan naik taraf kompleks serta jeti maritim di lokasi strategik.
“Saya turut ingin memaklumkan, projek kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) pertama kini mencapai kemajuan 58.3 peratus, mendahului jadual asal dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
“Manakala perolehan empat helikopter Medium Lift AW189mencatat kemajuan 44.66 peratus dengan penerimaan pesawat pertama dijangka pada Julai 2026,” tambah beliau.
Mohd Rosli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mengamalkan Whole-of-Government melalui kerjasama bersepadu bersama agensi di bawah KDN, termasuk perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama.
Katanya, ini bagimemastikan keberkesanan penguatkuasaan demi keselamatan perairan, kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota agar menjalankan tugas dengan amanah dan penuh berintegriti di samping mengamalkan tatakelola yang ditetapkan agar nama baik agensi tersebut sentiasa dihormati dan disegani. — Edisi 9

