Thursday, July 23, 2026

Ini satu penghormatan besar dalam kerjaya saya – Sweet Qismina

Beliau tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berdiri di pentas kemenangan sebaris dengan nama-nama besar industri hasil lakonannya dalam filem Babah itu.

Mesti Baca

PELAKON Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), Sweet Qismina menganggap anugerah berprestij yang diterima merupakan satu penghormatan besar dalam kerjayanya.

Malahan beliau tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berdiri di pentas kemenangan sebaris dengan nama-nama besar industri hasil lakonannya dalam filem Babah itu.

“Anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik adalah impian setiap pelakon. Nama saya diapit bersama seniwati-seniwati hebat yang saya hormati dan kagumi.

“Saya sendiri tidak menyangka akan dipilih, malah sudah cukup gembira melihat nama Sweet Qismina tersenarai bersama mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Sweet, 28, atau nama sebenarnya Sweet Qismina Suhaimi, berkata kemenangan itu menjadi tanggungjawab besar untuk terus memperbaiki mutu lakonannya dari semasa ke semasa.

“Menerima anugerah ini pada usia muda bukan sesuatu yang mudah. Saya akan menjaga nama baik anugerah ini dan berusaha memperbaiki setiap lakonan saya, Insya-Allah,” ujarnya.

Dalam luahan penuh emosi itu, Sweet turut menghadiahkan kemenangan berkenaan kepada ibunya yang banyak berkorban sejak awal perjalanan kariernya.

“Anugerah ini untuk mama. Tanpa mama, tak akan ada Sweet Qismina. Penat lelah, teguran dan doa mama yang tidak pernah putus itulah yang membuatkan saya berdiri di sini hari ini,” katanya.

Sweet turut menzahirkan penghargaan kepada suaminya, pelakon Adam Lee, yang disifatkan sebagai tulang belakang dan penyokong utama sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan.

“Semalam saya tak sempat sebut nama sebab lagu dah berbunyi. Tapi saya nak ucap terima kasih kepada suami yang sentiasa menjadi peminat nombor satu saya.

“Dia tahu bagaimana saya berjuang menghidupkan watak Maya, malah melihat sendiri air mata saya setiap kali rasa tidak cukup bagus,” katanya dengan nada sebak.

Sweet turut berterima kasih kepada peminat setianya, keluarga, rakan-rakan industri serta pihak penganjur FFM34, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sentiasa memberi sokongan dan ruang untuknya terus berkarya.

“Kemenangan ini kenangan paling bermakna buat saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menyokong.

“Semoga rezeki ini menjadi keberkatan dan kembali kepada anda semua. Buat arwah baba dan kakak, I did it,” katanya menutup luahan penuh emosi itu.

Dalam majlis penganugerahan itu, filem Babah turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik selain Pelakon Lelaki terbaik menerusi Qi Razali serta Pengarah Harapan oleh Mohd Shah Faizul Ibrahim. — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan