Thursday, July 23, 2026

Cadangan wujudkan KPWKM Sabah keberanian politik

Wanita Sabah menyumbang kepada ekonomi dan kestabilan sosial namun masih berada dalam kelompok paling terdedah terhadap jurang pembangunan.

Mesti Baca

CADANGAN penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Sabah merupakan satu keberanian politik yang diambil Barisan Nasional (BN) dalam usaha membina semula negeri itu.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, cadangan yang dimuatkan dalam manifesto BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 itu bukan kosmetik tetapo strategi pentadbiran.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka berkata, wanita Sabah menyumbang kepada ekonomi dan kestabilan sosial namun masih berada dalam kelompok paling terdedah terhadap jurang pembangunan. 

“Memberikan portfolio ini kepada seorang menteri “wanita” adalah langkah yang tepat; hanya yang memahami cabaran wanita mampu membina polisi yang melindungi mereka,” katanya hari ini.

Beliau mengulas Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang dilancarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Papar, Sabah hari ini.

Haryaty berkata, manifesto RPS1 yang diumumkan hari ini menandakan satu perkara penting iaitu BN tidak lagi bercakap tentang penyelesaian tetapi komited untuk mengambil alih tanggungjawab membaiki kerosakan yang dibiarkan berlarutan. 

Beliau berkata, slogan “Bikin Balik Sabah” bukan retorik politik yang dibawa oleh BN tetapi satu pengakuan bahawa Sabah berhak kepada pentadbiran yang cekap, bukan alasan demi alasan.

“Sabah tidak boleh terus berada dalam kitaran janji manis tanpa hasil. Jalan raya yang membahayakan, air yang tidak terjamin, bekalan elektrik yang kerap terganggu, capaian digital yang tidak setara, semuanya adalah wajah sebenar kegagalan struktur,” katanya.

Selain itu, Haryaty juga menyokong pemberian inisiatif i-Suri RM600 dan Skim Sayangi Wanita untuk pemeriksaan kesihatan percuma. 

Kata beliau, ia mencerminkan kesedaran bahawa wanita Sabah adalah nadi ekonomi rumah tangga.

Justeru, jelas beliau, setiap ringgit bantuan, setiap akses kesihatan, adalah pelaburan kepada kesejahteraan seluruh keluarga.

“Saya juga menyokong inisiatif Satu Negara Satu Harga. Sudah terlalu lama rakyat Sabah dipaksa membayar lebih mahal hanya kerana rantaian logistik yang tidak cekap,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan