Sunday, July 19, 2026

BN lancar RPS1 sebagai agenda pemulihan, pemerkasaan Sabah

Dirangka berdasarkan keperluan serta realiti sebenar rakyat Sabah merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, peluang kepada wanita dan belia, tadbir urus, kesihatan serta pemeliharaan alam sekitar.

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) hari ini melancarkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) sebagai dokumen hala tuju baharu bagi memacu pembangunan menyeluruh negeri itu, sekali gus menegaskan komitmen gabungan tersebut untuk mengangkat Sabah ke tahap lebih stabil, makmur dan bermaruah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RPS1 dirangka berdasarkan keperluan serta realiti sebenar rakyat Sabah merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, peluang kepada wanita dan belia, tadbir urus, kesihatan serta pemeliharaan alam sekitar.

“RPS1 ini merupakan denyut baharu perjuangan BN di Sabah. Ia digarap untuk menyantuni keresahan sebenar rakyat dan memandu usaha membina sebuah negeri yang stabil, makmur dan sejahtera,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran manifesto berkenaan di Papar, Sabah.

Hadir sama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden PBRS, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Presiden UMNO itu menegaskan, sekiranya diberi mandat BN akan melaksanakan setiap komitmen dalam RPS1 berasaskan sasaran prestasi yang jelas.

“Jika mandat diberikan kepada BN, setiap komitmen akan dipantau melalui KPI dan KRA. Janji bukan untuk dilaungkan, tetapi untuk ditunaikan. Amanah bukan untuk dihias, tetapi untuk dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya Sabah bangkit semula selepas terlalu lama menunggu pentadbiran yang tersusun dan bertanggungjawab.

“Sabah berhak mendapat masa depan yang lebih cerah. Inilah perjuangan kita bersama. Inilah waktu Sabah bangkit semula,” ujar beliau.

Berikut RPS1 yang dilancarkan hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17:

1. Dana Kemakmuran Sabah – Tubuh dana kekayaan negeri untuk simpanan dan pelaburan jangka panjang demi manfaat rakyat dan generasi akan datang.

2. Rumah SabahKu – Bina 15,000 rumah mampu milik setahun untuk B40/M40 dan sedia bantuan baik pulih rumah mangsa bencana sehingga RM10,000.

3. Bantuan & Masa Depan Anak Sabah

  • MyMAS: RM100 sebulan kepada B40 untuk kurangkan kos sara hidup.
  • ANAS: RM1,000 pelaburan awal untuk setiap bayi Sabah mulai 2026, boleh dikeluarkan pada umur 18 tahun.

4. Pemerkasaan Usahawan Tempatan

Geran sehingga RM10,000 setahun kepada usahawan mikro/PKS berdaftar, dengan keutamaan kepada belia, wanita dan B40 luar bandar. YUMS dipertingkat sebagai Bank Desa bagi memperluas akses kewangan dan menggerakkan ekonomi luar bandar.

5. Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu

Pembinaan lapangan terbang baharu dalam 10–15 tahun bagi meningkatkan kapasiti penumpang dan kargo serta merangsang pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan perdagangan.

6. Pelabuhan Baharu Kudat & FTZ

Pembangunan pelabuhan moden dan zon perdagangan bebas untuk menjadikan Kudat hab maritim strategik, mengukuhkan perdagangan serantau dan menarik pelaburan berkualiti.

7. Pentadbiran Wilayah Ekonomi Sabah Baharu

Penyusunan semula pentadbiran kepada 6 Wilayah Ekonomi berasaskan potensi setempat. Prinsip 1 Daerah 1 Industri diguna pakai bagi menggalakkan pembangunan produk huluan/hiliran, membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan jurang bandar–luar bandar.

8. Infrastruktur untuk Kesejahteraan Ekonomi

  • Jalan Raya: Siapkan Lebuhraya Pan Borneo dalam 5 tahun, tingkat penyelenggaraan jalan utama dan bina laluan penghubung luar bandar untuk memperluas limpahan ekonomi.
  • Bekalan Air: Penubuhan Suruhanjaya Air Sabah (SAS) bagi pengurusan air yang telus dan cekap. Bina loji rawatan dan empangan baharu, naik taraf paip & sensor pintar untuk kurangkan kebocoran, serta penyelesaian jangka pendek seperti sistem graviti, mini empangan dan telaga tiub.
  • Elektrik / Solar: Tingkat kapasiti penjanaan tenaga kepada 3,000–5,000 MW dan sediakan sistem BESS-Solar untuk KIR B40 sebagai tenaga alternatif.
  • Digital Sabah: Liputan internet negeri disasarkan meluas dalam 5 tahun dengan kelajuan minimum 100Mbps termasuk di pedalaman. Bandar utama dijadikan Smart City melalui infrastruktur digital, pencahayaan pintar dan perkhidmatan kerajaan digital.

9. Pelan Induk Mitigasi Banjir Sabah 2030

Pelan mitigasi menyeluruh dengan dana khas Persekutuan untuk kawasan berisiko tinggi. Termasuk sistem tebatan banjir, penyelenggaraan saliran utama serta pembersihan sungai dan parit secara berkala bagi mengurangkan impak banjir dan melindungi penduduk.

— Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan