APLIKASI mudah alih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MCMC Nexus menerima Anugerah Khas Penyertaan Digital sempena majlis Anugerah Transformasi Digital Malaysia (MDTA) 2025.
Pengiktirafan yang diberikan kepada MCMC Nexus itu sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform penting dalam usaha merapatkan jurang digital di negara ini.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada acara GovInsider Live MY.AI Day, yang menghimpunkan pakar teknologi serta pemain industri digital negara.
“Penganugerahan ini dianggap sebagai bukti keberkesanan MCMC Nexus dalam menyediakan maklumat yang telus dan mudah diakses mengenai kualiti perkhidmatan Internet kepada rakyat,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, aplikasi berkenaan dibangunkan sebagai alat pantauan mesra pengguna yang membolehkan orang ramai menilai sendiri tahap kesalinghubungan Internet mereka.
Katanya, ini termasuk rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi selain mengukur metrik penting seperti kelajuan muat naik dan muat turun, kadar ping serta jitter.
Keputusan ujian yang tidak memenuhi Mandatory Standard for the Quality of Service (MSQoS) akan dihantar hampir serta-merta kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan berkaitan bagi membolehkan tindakan pembetulan diambil.
Data berasaskan laporan pengguna ini turut membantu mengenal pasti kawasan yang mengalami liputan lemah untuk tujuan penambahbaikan infrastruktur.
Aplikasi itu juga dilengkapi fungsi Data Experience Test yang menilai pengalaman penggunaan Internet sebenar, termasuk pelayaran web dan permainan dalam talian.
Integrasi bersama Peta JENDELA pula menjadikan MCMC NEXUS sebagai rujukan lapangan yang melengkapkan usaha peningkatan infrastruktur digital di seluruh negara.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memastikan rakyat Malaysia di bandar mahupun luar bandar mendapat akses digital yang adil dan berkualiti, selaras dengan aspirasi negara memperkukuh ekonomi digital dan kesalinghubungan menyeluruh,” kata MCMC. — Edisi 9

