TINDAKAN pegawai Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan menerima memorandum semasa Himpunan Sumud Flotilla hari ini adalah disebabkan kebimbangan terhadap faktor keselamatan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, memorandum tersebut menggariskan tiga tuntutan utama, antaranya mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, serta jaminan keselamatan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Yang kedua adalah soal keselamatan mereka. Jaminan daripada sudut keselamatan perlu diberikan kerana mereka ini adalah aktivis tidak bersenjata.
“Tidak ada sebab untuk tentera rejim Zionis atau mana-mana pihak berasa terancam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Kedutaan AS, hari ini.
Manakala tuntutan ketiga adalah penolakan terhadap rancangan Washington untuk membina semula Gaza tanpa penglibatan penduduk tempatan, yang disifatkan bercanggah dengan hasrat rakyat Palestin.
Muhammad Kamil yang juga Ketua Pemuda PKR berkata, beliau sendiri telah cuba menghubungi pihak kedutaan untuk menyampaikan memorandum tersebut, namun ditolak pada saat akhir.
Bagaimanapun, penyerahannya akan tetap diteruskan selepas solat Jumaat esok.
Perhimpunan yang berlangsung di ibu negara tersebut adalah bagi membantah tindakan Israel menahan 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza selepas kapal mereka dipintas tentera rejim Zionis Israel awal pagi tadi. — Edisi 9

