KAPAL Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast kini sah menjadi milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) setelah diserahkan secara rasmi dalam satu majlis penuh istiadat di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Baltimore, Amerika Syarikat hari ini.
Penyerahan dilakukan Deputy Chief Acquisition Officer and Director of Domain & Integration Services USCG, James Knight apabila menandatangani Certificate of Transfer dan diserahkan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman yang mewakili Kerajaan Malaysia menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Turut hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Pengarah Bahagian Risikan Maritim, Datuk Md Fauzi Othman dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.
Dalam ucapannya, Knight berkata, kapal yang diserahkan itu merupakan kapal yang ditauliahkan pada 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang selama 56 tahun.
“Kehadiran kapal ini dalam armada Maritim Malaysia diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara,” katanya dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Mohd Rosli menghargai semua kru yang berjaya menamatkan latihan dengan penuh komited dan dedikasi.
Beliau menyifatkan penerimaan Ex-USCG Cutter Steadfast sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama erat Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya antara Maritim Malaysia dan USCG.
“Kapal ini bakal memulakan pelayaran pertamanyan dengan kru baharu yang bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia iaitu dengan merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi,” katanya.
Mohd Rosli menambah, aset baharu itu diharap akan meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan zon maritim negara.
Selain itu ia juga dapat memperluas ruang kerjasama antara Malaysia dan AS dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti.
Terdahulu seramai 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia menerima Sijil Tamat Latihan intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC). — Edisi 9

