SEMUA penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) diminta menambah kapasiti rangkaian di Kampung Sepagaya, Lahad Datu, Sabah bagi memastikan rangkaian komunikasi kekal stabil menjelang musim Monsun Timur Laut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka juga diminta untuk menyediakan bekalan kuasa sokongan, termasuk genset dan sistem hibrid solar, memandangkan kampung tersebut antara lokasi berisiko banjir.
Beliau berkata, kementerian turut memperkukuh kualiti liputan dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan iaitu NADI Kampung Sepagaya dan NADI Layung Industrial.
“… ini untuk kegunaan komuniti bagi pelbagai perkhidmatan digital selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketercapaian digital, memacu pembangunan sosioekonomi serta memperkukuh agenda pendigitalan negara,” katanya.
Fahmi sebelum itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat tinjauan dan pengujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sepagaya bagi menilai prestasi serta tahap kesiapsiagaan telco menghadapi musim tengkujuh.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Melalui ujian bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL menggunakan aplikasi MCMC NEXUS menunjukkan menara komunikasi di kawasan tersebut mampu mencapai kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, sekali gus memanfaatkan kira-kira 3,800 penduduk setempat.
Sementara itu Fahmi berkata, setakat 31 Julai lalu, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.30 peratus, peningkatan ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA). — Edisi 9

