KETUA Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh bagai pasrah apabila kelantangannya mempertahankan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara di pandang serong oleh pelbagai pihak.
Beliau yang sebelum ini mengetuai perhimpunan aman membantah tindakan seorang peniaga yang memasang bendera kebangsaan itu secara terbalik di Pulau Pinang mendapat kecaman terutama daripada DAP.
Malahan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menegur tindakan pihak-pihak yang dikatakan cuba mempopularkan sesuatu atau untuk dilihat paling popular.
Teguran itu dipercayai ditujukan kepada Akmal dan juga pihak DAP, lantas ADUN Merlimau itu membuat hantaran bagai pasrah dengan “serangan” ke atas beliau:
“Sayang saya pada agama, bangsa dan tanah air ini tiada nilainya. Jika itulah yang dianggap dan diperkatakan akhirnya.
“Saya tiada apa-apa yang mampu untuk diperkatakan lagi. Terima kasih,” kata Akmal menerusi media sosialnya sejurus kenyataan Zahid dikeluarkan.
Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan sayap pemudanya Dapsy seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal ekoran tindakannya mengetuai perhimpunan aman di Pulau Pinang beberapa hari lalu.
Sinar Harian yang memetik kenyataan Zahid sebagai berkata, UMNO telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi, justeru semua pihak tidak melakukan perkara yang menjejaskan hibungan baik antara parti Kerajaan Perpaduan.
“Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi,” katanya. – Edisi 9

