CAKAP-CAKAP berlaku pergolakan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terungkap apabila Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah melepaskan jawatan itu.
Surat peletakan jawatan Mohd Joehari yang menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM penggal 2025-2029 Februari lalu diterima baru-baru ini.
Susulan peletakan jawatan Joehari, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju melantik Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai pemangku sehingga Kongres tahun depan.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan. Kongres tersebut hendaklah memilih Presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.
“Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu,” kata FAM dalam kenyataan hari ini.
FAM berkata, dalam mesyuarat tersebut, pihaknya telah meneliti hasrat Joehari dan mereka akur dengan peletakan jawatan tersebut sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak beliau dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Februari 2025,” katanya.
Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati dalam segala urusan dan terus dapat menyumbang kepada bola sepak negara. — Edisi 9

