SURUHANJAYA Integriti Penguatkuasaan (EAIC) dijenamakan semula termasuk pengenalan logo baharu dengan menampilkan imej lebih garang.
Dengan menonjolkan mata dan kuku harimau pada logo baharu, EAIC berkata, ia simbol komitmen terhadap pembaharuan dan pengukuhan peranan institusi ini sebagai badan pemantau bebas, selaras dengan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, perubahan itu bukan sekadar penjenamaan visual tetapi satu langkah strategik ke arah memperkukuh fungsi pengawasan EAIC secara lebih berfokus dan responsif.
Beliau menegaskan, reformasi institusi menuntut keberanian untuk berubah dan EAIC memilih untuk bergerak ke hadapan dengan penuh ketegasan serta rasa tanggungjawab terhadap amanah rakyat.
“Penjenamaan semula ini diharap akan dapat menyampaikan matlamat suruhanjaya dengan lebih jelas untuk terus bergerak ke hadapan sebagai peneraju dalam reformasi integriti institusi penguatkuasaan, dengan fokus memperbaiki proses, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan masyarakat secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Logo baharu EAIC menampilkan elemen ‘mata harimau’ dan ‘kuku harimau’ yang melambangkan ketajaman dan kewaspadaan dalam memantau salah laku, mencerminkan komitmen Suruhanjaya dalam menerajui reformasi integriti agensi penguatkuasaan secara berterusan dan berkesan.
Ismail berkata, penjenamaan semula itu merupakan kesinambungan kepada usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak 2024, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
Antaranya, isu pembuangan e-waste secara haram serta penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan dan kajian untuk mengenal pasti langkah pencegahan kematian dalam tahanan.
“Usaha lain merangkumi pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan pewujudan mekanisme traffic light bagi memantau kemajuan siasatan yang telah melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kajian keberkesanan operasi agensi penguatkuasaan seliaan, penyertaan dalam operasi dan konsultasi di lapangan bersama pihak berkepentingan untuk memahami isu di peringkat akar umbi bagi merangka syor penambahbaikan yang berimpak tinggi turut dimantapkan.
Katanya, EAIC juga konsisten dalam mengumumkan laporan hasil siasatan kepada umum bagi kes-kes yang disiasat, selaras dengan kehendak Seksyen 30(5), Akta 700.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen keterbukaan Suruhanjaya kepada rakyat serta mendukung prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
Sebagai kemuncak kepada segala usaha pembaharuan yang telah digerakkan, kata agensi itu, pelantikan EAIC sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Katanya, CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti dan komitmen EAIC dalam memacu agenda integriti nasional, selaras dengan aspirasi pencapaian sasaran CPI 2033. — Edisi 9

