Tuesday, July 21, 2026

Pembebasan Yusoff Rawther: PDRM teliti semula SOP siasatan

Mesti Baca

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia meneliti semula keseluruhan siasatan serta prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai susulan pembebasan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther daripada  pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol mainan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan mahkamah tersebut serta mengalu-alukan pandangan dan reaksi daripada semua pihak berkaitan kes berkenaan.

“Pandangan tersebut mencerminkan satu hasrat murni untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara terus menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan pada tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Razarudin, PDRM kini sedang menunggu penghakiman penuh bagi meneliti sama ada terdapat sebarang kelemahan atau kelompangan dalam siasatan dijalankan sebelum ini.

“Kita sedia melakukan penambahbaikan melalui penilaian dalaman dan semakan semula SOP penyiasatan,” jelas beliau.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua laporan polis, termasuk membabitkan individu berprofil tinggi seperti dalam kes ini, akan disiasat secara adil dan tanpa prejudis.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Negara berkata, laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff pada 12 September tahun lalu telah disiasat menerusi dua kertas siasatan, masing-masing berkaitan penemuan dadah dan pistol.

“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu kerana tindakan sewajarnya telah pun diambil sejak peringkat awal aduan dibuat,” katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan, dan pihak pendakwaan ketika itu berpuas hati bahawa keterangan sedia ada sudah mencukupi untuk menuduh Muhammed Yusoff tanpa memanggil mana-mana pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

Seperti kes-kes lain sebelum ini, katanya, PDRM sentiasa mengambil kira keputusan mahkamah serta bersikap terbuka dalam usaha menambah baik mutu siasatan dan mengoptimumkan pendakwaan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan