Tuesday, July 21, 2026

Khutbah Jumaat: Klik dengan bijak, waspada maklumat palsu

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. 

Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Klik Dengan Bijak, Waspada Maklumat Palsu.”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Umat Islam kini berada dalam dunia moden yang dipenuhi dengan kecanggihan sains dan teknologi. 

Kecanggihan teknologi global telah memudahkan kita untuk berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang jauh. 

Penggunaan internet juga banyak memberikan kebaikan kepada umat manusia menerusi pelbagai platform dalam talian seperti laman web, blog, media-media sosial dan sebagainya.

Daripadanya apa-apa sahaja maklumat boleh dicapai dan disebar dengan begitu mudah dan pantas sekali walau di mana jua kita berada. 

Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap maklumat yang diingini pasti akan terpapar. 

Jika dilihat dari sudut yang positif, ia memudahkan kita untuk mencari sesuatu maklumat yang diingini, mengetahui berita-berita terkini, mendapatkan ilmu pengetahuan terutamanya bagi para pelajar, mempelajari agama dan sebagainya tanpa ada had masa. 

Sesiapa sahaja boleh berinteraksi dengan menulis dan berkongsi apa-apa sahaja di alam maya.

Walau bagaimanapun, setiap maklumat yang ingin dikongsi hendaklah dipastikan kesahihannya sama ada benar atau palsu.

Maklumat palsu adalah maklumat tidak benar yang disebarkan dalam masyarakat tanpa dikenal pasti kesahihannya.

Berdasarkan aduan yang diterima dan dilaporkan di dalam portal aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada tahun 2023 sebanyak 450 aduan berita palsu telah diterima dan sebanyak 172 aduan telah diterima dalam tahun 2024. 

Ini menunjukkan bahawa masih banyak lagi berita-berita palsu yang telah direka-reka dan diada-adakan untuk disebarkan dalam masyarakat.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Penyebaran berita atau maklumat palsu bukanlah satu budaya yang baik untuk diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi Islam sebagai agama persekutuan. 

Ini adalah kerana tiada manfaat dan sumbangan nilai-nilai yang murni untuk pembangunan insan, bahkan tiada keperluan untuk menyebarkan berita palsu kerana ia akan memberi kesan yang negatif kepada masyarakat dan negara. 

Kesan daripadanya menatijahkan kecelaruan emosi dan ketenteraman jiwa individu, keretakan hubungan kekeluargaan, terputusnya hubungan persaudaraan, mencetuskan huru-hara dalam negara, penyebaran ajaran dan fahaman sesat, mengganggu gugat kestabilan politik negara dan menghilangkan integriti dalam diri seseorang.

Oleh itu, Islam amat memandang berat terhadap perbuatan ini sehinggakan Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu berita. 

Ini adalah kerana ada sebahagian umat Islam yang memandang remeh kata-kata yang diucapkannya, sehingga dia tidak menyangka bahawa kata-kata tersebut menjadi penyebab kepadanya dihumban ke dalam neraka.

Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa atau tidak berdosa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun” (Riwayat al-Tirmizi).

Bagi mengekang budaya penyebaran berita atau maklumat palsu ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil inisiatif untuk melancarkan satu program iaitu ‘Klik Dengan Bijak’.

Ia bertujuan bagi membudayakan penggunaan internet secara positif dalam membendung masalah penyalahgunaan internet. 

Beberapa langkah telah disusun dalam program ini yang boleh membantu mengekang penyebaran berita atau maklumat palsu. 

Antaranya ialah pengguna hendaklah sentiasa melihat dan memastikan setiap maklumat yang ingin dicari boleh dipercayai atau tidak. 

Pengguna juga hendaklah memahami dan meneliti apa yang hendak dibaca itu sahih dan diambil daripada fakta yang tepat.

Pengguna juga harus menyelidik dengan lebih mendalam dan membuat perbandingan daripada pelbagai sumber yang sahih. 

Media sosial menjadi lubuk berita palsu. – Gambar hiasan

Seterusnya pengguna hendaklah melihat daripada pelbagai sudut sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua pandangan tentang sesuatu perkara.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Terdapat juga portal Sebenarnya.my yang telah diwujudkan di mana orang ramai boleh menyemak sama ada berita atau maklumat yang disebarkan dalam talian adalah benar atau palsu. 

Tujuannya adalah sebagai satu platform untuk kita memeriksa terlebih dahulu sesuatu berita atau maklumat sebelum mempercayainya dan seterusnya berkongsi pula dengan orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6 seperti mana yang telah dibacakan di awal khutbah bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu!”

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman untuk meneliti setiap berita yang dibawa oleh orang-orang fasik supaya mereka dapat berwaspada dalam membuat sebarang keputusan kerana dikhuatiri dia berbohong atau kata-katanya salah.

Justeru, dalam berhadapan dengan penyebaran suatu berita atau maklumat, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu selidik dahulu sebelum berkongsi. 

Apatah lagi jika maklumat itu datang daripada individu yang tidak dikenali atau diragui kewibawaannya, maka amat wajar kita berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu, didiklah diri kita agar menjadi seorang pengguna internet khususnya media-media sosial yang bijak dan berfikiran matang. 

Pastikan kita bertanggungjawab terhadap setiap berita atau maklumat yang dikongsikan. Tinggalkanlah segala berita atau maklumat yang meragukan dan palsu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Dalam menerima sesuatu berita atau maklumat sebelum disebarkan, rujuklah badan-badan yang berautoriti terlebih dahulu bagi memastikankebenaran, kesahihan dan ketepatannya kerana adakalanya sesuatu berita atau maklumat itu dilabel sebagai palsu tetapi ia adalah benar. 

Sebagai contoh, dalam permasalahan berkaitan dengan penyakit dan ubat-ubatan, rujuklah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai badan yang berautoriti dalam bidang kesihatan.

Jika berkaitan dengan isu hukum hakam dalam agama walaupun di luar sana terdapat ramai asatizah di media-media sosial yang membahaskannya, tetapi jadikanlah badan autoriti agama khususnya Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai medan bagi merungkaikan permasalahan yang timbul. 

Umat Islam berkewajipan untuk merujuk kepada mereka yang sepatutnya dirujuk bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan ajaran yang sesat dan amalan yang bercanggah dengan sunnah Baginda SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 43:

“Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui”.

Janganlah kita bermudah-mudah mengambil ilmu agama secara sembarangan melalui internet kerana di dalamnya sering bercampur antara yang haq dan yang batil. 

Terutamanya apabila ia datang daripada penulisan yang tidak jelas sumber rujukannya dan tidak berpaksikan kefahaman yang sahih dalam urusan agama. 

Oleh itu, rujuklah kitab-kitab atau karya ilmiah yang telah diperakui kesahihannya, disertai penjelasan dan huraian daripada para ulama yang muktabar. 

Ketahuilah bahawa kebenaran pasti akan terserlah dan kebatilan pasti akan terbongkar dengan izin Allah SWT serta keilmuan dan ketekunan para ulama dalam menegakkan dan mempertahankan kebenaran.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.

2. Umat Islam hendaklah menggunakan internet terutamanya media-media sosial dengan bijak kerana banyak manfaat yang dapat diperoleh daripadanya.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dalam menyebarkan sesuatu berita atau maklumat kerana boleh jadi ia adalah maklumat palsuyang akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 18 April 2025.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan