Tuesday, July 21, 2026

Indonesia setuju iktiraf logo halal Jakim diguna tanpa SOP baharu

Ini adalah suatu pengiktirafan terhadap sistem pensijilan halal Malaysia yang telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan global - Zahid

Mesti Baca

MALAYSIA dan Indonesia mencapai kata sepakat awal agar sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus diiktiraf bagi produk halal dari negara ini yang dieksport ke negara itu tanpa memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

Kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta hari ini.

“Ini adalah suatu pengiktirafan terhadap sistem pensijilan halal Malaysia yang telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan global,” kata Zahid hari ini.

Semalam, dalam sidang meja bulat industri halal, beliau berkata, Malaysia turut bersetuju mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk halal yang dieksport ke negara ini.

“Ini merupakan satu 𝑔𝑎𝑚𝑒 𝑐ℎ𝑎𝑛𝑔𝑒𝑟 yang signifikan hasil komitmen para pemain industri kedua-dua negara,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Persidangan meja bulat itu merupakan satu platform yang mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama serantau serta merancakkan pertumbuhan inklusif dalam ekonomi halal global.

Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan persidangan meja bulat industi halal Malaysia-Indonesia di Jakarta.

Sesi itu dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Matlamatnya ialah untuk meneroka peluang strategik dalam memperluas perdagangan dua hala, pelaburan serta integrasi rantaian bekalan halal antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem halal Malaysia yang telah diiktiraf dunia, malah memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk melonjakkan lagi kesepaduan serantau. 

“Platform seperti ASEAN Working Group on Halal Food (AWGAF) dan BIMP-EAGA turut menjadi pemacu sinergi kukuh ke arah membina ekonomi halal yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.

Zahid berkata, beliau juga berbangga dengan penyertaan PKS Malaysia di Food & Hospitality Indonesia (FHI) 2024, yang berjaya meraih potensi jualan RM62.57 juta, membuktikan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia di pasaran Indonesia.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Forum Industri Halal yang akan dianjurkan bersama Malaysia dan Indonesia diperluaskan ke peringkat serantau. 

Selain itu, katanya, hasrat penubuhan Majlis Halal ASEAN telah disampaikan kepada Sekretariat ASEAN untuk pertimbangan dan persetujuan negara anggota. 

“Inisiatif ini bakal memperkukuh ekosistem halal serantau yang inklusif dan berdaya saing.

“Dengan adanya komitmen ini, saya yakin kita dapat terus memperkukuh ekonomi halal serantau dan dunia melalui strategi yang bersepadu dan saling melengkapi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan