HUBUNGAN Malaysia dan Indonesia perlu keluar dari kepompong lama dan mencipta kejayaan baharu bersama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara itu tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan perniagaan dengan perniagaan (B2B).
“… tetapi mesti wujud rasa kebersamaan P2P (People to People) yang mampu memberikan dividen politik mahupun perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis tiba di Jakarta malam tadi untuk lawatan rasmi ke negara itu.
Sejurus tiba, beliau menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama warga Malaysia terdiri kalangan mereka yang bermastautin, bertugas, serta sedang menyambung pelajaran.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berpesan kepada para duta kecil negara bahawa mereka mesti berperanan memperkukuh hubungan kedua-dua negara yang serumpun itu.
“Kita bukan hanya berkongsi sempadan, tetapi disatukan melalui sejarah, budaya dan nilai-nilai bersama,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengajak semua warga Malaysia di Indonesia untuk turut serta dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, dan menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya dan warisan yang menawan.
Katanya, dengan sokongan semua, sasaran untuk mencapai kehadiran 35.6 juta pelancong ke Malaysia dapat dijayakan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir malam tadi.
“Semoga hubungan kita terus erat, dan semoga ukhuwah kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia terus kukuh di mana sahaja kita berada,” katanya. – Edisi 9

