Tuesday, July 21, 2026

Dicekup selepas kurang 6 jam samun barang kemas RM2 juta

Penjenayah telah menggunakan senjata disyaki sepucuk pistol semasa melakukan samun dan melarikan tujuh dulang barang kemas.

Mesti Baca

SEORANG lelaki warga tempatan dicekup kurang enam jam selepas melakukan samun bersenjata di sebuah kedai emas di pasar raya dekat Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu telah ditahan di kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor, malam tadi.

Beliau berkata, sebelum itu Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima satu maklumat mengenai kejadian samun bersenjata api itu pada kira-kira pukul 4.56 petang.

Menurut beliau, penjenayah telah menggunakan senjata disyaki sepucuk pistol semasa melakukan samun dan melarikan tujuh dulang barang kemas dianggar berjumlah RM2 juta.

Katanya, suspek berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya berkenaan.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, lebih kurang pukul 10.15 malam, IPK Selangor dan IPD Petaling Jaya telah berjaya membuat tangkapa terhadap satu lelaki yang disyaki suspek bersabit kes ini di kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Hasil serbuan ini telah berjaya menemui semula sejumlah barang kemas yang dilarikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, suspek dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad (017-7762991). – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan