24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Polis akan panggil 6 pengamal media ceroboh PKRCB MAEPS

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis telah mengenal pasti enam pengamal media yang didakwa menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang Isnin lepas dan mereka akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, individu terbabit disiasat membabitkan dua isu iaitu memasuki kawasan larangan dan membahayakan diri atau orang lain berikutan PKRC MAEPS diklasifikasikan sebagai lokasi pusat kuarantin penyakit berjangkit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati petugas media terbabit memasuki zon kuning PKRCB berkenaan bersebelahan tempat pesakit kategori tiga dan empat.

“Kita menerima laporan daripada pengarah MAEPS pada jam 4 petang semalam, yang mendakwa wartawan itu masuk kawasan berkenaan tanpa kebenaran.

“Di tempat itu ada zon hijau, kuning dan merah. Wartawan yang masuk itu tidak memakai pakaian pelindung diri (PPE), sebaliknya hanya memakai pelindung serta pelitup muka.

“Mereka membahayakan diri, rakan dan keluarga, kita tidak tahu siapa kontak rapat mereka. Setakat ini, saya dimaklumkan ada kawalan polis di luar MAEPS pada waktu kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita mahu segerakan siasatan sebab tidak mahu ada pihak ambil kesempatan terhadap apa yang berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Advertisements

Terdahulu, Edisi 9 melaporkan polis menyiasat laporan berhubung sekumpulan pengamal media yang didakwa menceroboh PKRCB MAEPS Serdang, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed berkata, ini berikutan dewan itu diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit COVID-19 yang melarang orang luar memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.

Dewan itu ketika ini menempatkan 496 pesakit wanita positif COVID-19.

Tindakan sekumpulan pengamal media itu dipercayai untuk merakam doktor kontrak yang bertugas di PKRCB MAEPS 2.0 susulan demontrasi hartal doktor berkenaan di seluruh negara.

Arjunaidi berkata, wartawan sentiasa diberi kebebasan untuk melaporkan berita, namun perlu mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kita beri kebebasan dan tidak pernah sekat media, namun kita tidak boleh membiarkan mereka masuk kawasan merbahaya seolah-olah macam pergi bunuh diri.

“Kalau tempat itu terbakar, kita tidak akan masuk kerana bahaya. Polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan