SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengesyorkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan berhubung dakwaan mengenai tindakan pegawai Jabatan Imigresen meluluskan permohonan Memo Periksa Keluar (COM) pekerja asing tanpa pengetahuan majikan.
EAIC berkata, hasil siasatan yang dilakukan susulan aduan diterima mendapati pegawai Imigresen terbabit cuai dan tidak bertanggungjawab apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan kelulusan permohonan COM terbabit.
Suruhanjaya itu berkata, kecuaian tersebut menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja berkenaan di syarikat yang terbabit dibatalkan.
“Permohonan COM telah diluluskan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak ketiga. Hasil siasatan juga menunjukkan terdapat pemalsuan dokumen berhubung permohonan COM tersebut.
“Pegawai Imigresen terlibat juga cuai kerana menghilangkan dokumen asal permohonan COM berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
EAIC berkata, susulan hasil siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) itu, EAIC mengesyorkan hukuman diambil terhadap pegawai Imigresen terbabit oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Jabatan Imigresen.
Selain itu, cadangan penambahbaikan Sistem myIMMs juga juga dikemukakan kepada Ketua Pengarah Imigresen.
“EAIC juga mengesyorkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan bagi membolehkan penyiasatan dijalankan bersabit dengan laporan polis yang dibuat oleh Pengadu EAIC sebelum ini,” katanya. – Edisi 9