23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Pelesenan media sosial langkah tepat demi kesejahteraan rakyat

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

LANGKAH kerajaan Malaysia menguatkuasakan keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial bermula 1 Januari 2025 merupakan langkah tepat demi kesejahteraan rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Mumtaz Aini Alivi berkata, langkah itu dapat menangani penyalahgunaan platform media sosial.

Beliau berkata, ini termasuk penyebaran berita palsu, ungkapan kebencian, dan deepfake yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat, termasuk kemurungan dan stres.

“Dengan lesen ini, penyedia platform akan lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dipaparkan, sekali gus membantu masyarakat yang kurang literasi media memahami kandungan dengan lebih baik,” katanya kepada Edisi 9 ketika dihubungi hari ini.

Mumtaz Aini berkata, langkah diambil Kerajaan MADANI itu juga penting untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum, mengawal ketegangan politik, dan memastikan kestabilan negara.

Katanya, walaupun terdapat kebimbangan bahawa ia menyekat kebebasan media, hakikatnya individu masih bebas menulis selagi tidak melanggar tatasusila atau keselamatan negara.

Dr Mumtaz Aini Alivi dan Ahmad Faisal Mohamed Fiah

“Sekatan hanya dikenakan terhadap isu sensitif dan berita palsu untuk mengelakkan media menjadi batu api dan bukan watchdog,” kata beliau.

Justeru, beliau menjelaskan, untuk terus memperkasakan aktiviti media baharu ke arah yang positif dan membina khususnya media sosial, langkah tersebut memang perlu dan tidak dilihat sebagai menyekat kebebasan bersuara.

“Undang-undang memang perlu ada untuk mengawal segelintir pihak yang tidak tahu mengaplikasi sekatan terhadap diri atau platfrom mereka, demi menjaga keharmonian rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah pula berkata, keperluan untuk garis panduan khusus dalam penggunaan media sosial adalah amat kritikal.

Advertisements

Katanya, golongan tersebut sering kekurangan kemampuan kritikal untuk menilai dan menapis maklumat, menjadikan mereka mudah terdedah kepada naratif palsu dan kandungan berbahaya.

“Pengawasan ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini, melalui kawalan yang tegas terhadap penggunaan peranti dan akses kepada media, ibu bapa dapat melindungi anak-anak mereka daripada kesan buruk pendedahan digital yang tidak terkawal.

“Tanggungjawab platform digital juga tidak boleh diabaikan. Keghairahan mengejar keuntungan tidak seharusnya mengatasi keutamaan untuk melindungi pengguna, terutamanya golongan kanak-kanak daripada kandungan yang berpotensi membahayakan,” kata beliau.

Sejak 1 Januari lalu, Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 27 Julai 2024, mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

Sehingga kelmarin, Wechat dan Tiktok masing-masing memperoleh lesen pengoperasian daripada MCMC manakala Telegram pula dalam peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka memperoleh lesen mereka dalam masa terdekat. 

Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan Whatsapp pula, telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan