KERANG yang dihanyutkan ke Pantai Sura, Dungun, Terengganu disahkan selamat untuk dimakan namun perlu dimasak dengan sempurna.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, lima sampel kerang yang diambil di pantai tersebut pada 15 Januari lalu disahkan bebas daripada plankton yang menghasilkan biotoksin.
“Bacaan kelima-lima sampel menunjukkan bacaan Total coliform 6,380 – 7,380 MPN/100g. Bacaan kelima-lima sampel menunjukkan bacaan Escherichia coli antara 300 – 680 MPN/100g.
“Tiada Salmonella spp. dikesan dalam ke lima-lima sampel. Dua daripada lima sample dikesan terdapat Vibrio parahaemolyticus.
“Tiada Vibrio cholerae dan V.vulnificus dikesan dalam ke lima-lima sampel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruzaidi berkata, fenomena kerang hanyut di pantai tersebut bukan kali pertama berlaku sebaliknya ia merupakan kejadian berulang.
Katanya, fenomena kerang hanyut ke daratan akibat ombak besar pernah berlaku pada 2014, 2016, 2019 dan 2021.
Beliau berkata, seperti mana kejadian sebelum ini, sampel kerang yang diambil baru-baru ini menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan.
“Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B dan C di bawah piawaian National Shellfish Sanitation Program (NSSP), yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan,” tegas beliau.
Ruzaidi menasihatkan orang ramai untuk memastikan kerang yang dikutip dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.
“Pengambilan kerang mentah harus dielakkan, terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.
“Selain itu, orang ramai disarankan sentiasa mempraktikkan langkah-langkah kebersihan semasa memproses makanan laut bagi memastikan keselamatan makanan terjamin,” katanya. – Edisi 9

