BEREGU lelaki ketiga dunia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menamatkan penantian Malaysia selama 15 tahun untuk menyaksikan beregu lelaki negara menjuarai Terbuka India.
Ini setelah pemain profesional negara itu berjaya menundukkan juara Terbuka Malaysia minggu lalu dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam perlawanan akhir di Kompleks Sukan Indra Gandhi, New Delhi sebentar tadi.
Kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Terbuka India menerusi Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2010.
Kemenangan Nur Izzuddin-Sze Fei sekali gus merekodkan gelaran pertama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mereka bagi tahun ini setelah mencipta rekod agak cemerlang tahun lalu.
Pada set pertama, Wan Ho-Seung Jae mengekori rapat pungutan mata di belakang naib juara Kejohanan Badminton Dunia BWF tahun lalu itu.
Bagamana pun beregu negara berjaya menjarakkan kedudukan dim mata 17-15 seterusnya memungut empat mata berturut-turut untuk menang 21-15.
Di set kedua, Wan Ho-Seung Jae memperkemaskan permainan mereka sejak mata pertama sehingga satu ketika dengan mata 11-4 sebelum sedikit demi sedikti diekori oleh pasangan “FeiDin”.
Bagaimanapun segalanya sudah terlambat dan beregu negara dilihat melepaskan set kedua kepada beregu Korea Selatan dengan 13-21.
Pada set penentuan, FeiDin memperkemaskan permainan mereka terutama dari segi serangan dan bertahan sehingga beregu Wan Ho-Seung Jae bagai hilang akal untuk mengutip mata.
Begitupun, pasangan Korea Selatan berusaha merapatkan kedudukan kepada 17-14 sehingga mencemaskan para penyokong Malaysi di Kompleks Sukan Indra Gandhi, New Delhi dan juga mereka yang menyaksikan siaran langsung di rumah.
Bagaimanapun ketenangan Nur Izzuddin-Sze Fei berjaya menyerap tekanan sebelum menamatkan perlawanan 21-16. – Edisi 9