AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin bekad Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz ikhlas ketika mendakwa Datuk Seri Najib Razak berdepan perbicaraan tidak adil.
Bagaimanapun Mohd Puad yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, beliah tidak pasti sama ada pemimpin Pas lain ikhlas atau tidak apabila beria-ia membangkitkan isu adendum Najib.
“Saya ucap terima kasih kepada Nik Abduh kerana berterus terang. Dia cadang supaya Najib dibebaskan sepenuhnya bukan tahanan dalam rumah.
“Saya yakın Nik Abduh ikhlas apabila mendakwa perbicaraan Najib senget. Memang senget, sebab itu Tan Sri Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah dan Sarawak mendakwa Najib tidak diberi perbicaraan yang adil.
“Kita tidak pasti pemimpin Pas lain ikhlas atau tidak apabila beria-ia membangkitkan isu titah adendum. Ada yang ke mahkamah tunjuk muka,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.
Semalam, Nik Abduh yang juga anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, bekas Perdana Menteri itu seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukumannya di rumah.
Nik Abduh berkata, beliau kekal dan semakin teguh dengan pendirian bahawa Najib menghadapi perbicaraan ‘senget’.
“Kita doakan Nik Abduh kekal lama dalam kepimpinan tertinggi Pas. Parti itu suka cop orang. Siapa yang dicop senget akan cepat disisihkan.
“Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Nik Abduh dengan berlakon matang? Adakah “mereka yang bijak berlakon tetapi hakikatnya palsu?”
“Sebab itu cabaran kepada Najib kini ialah bukan sahaja dia gagal dapat perbicaraan adil tetapi lakonan matang peringkat tertinggi. Menurut Nik Abduh, mahkamah juga berlakon,” katanya.