PIALA Mitsubishi Electric ASEAN 2024 yang akan bermula Ahad ini bakal menjadi tugasan terakhir Pau Marti Vicente sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya.
Pengendali dari Sepanyol yang mengambil alih tugas yang ditinggalkan Kim Pan Gon itu berkata, ini berikutan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan selepas ini.
Beliau berkata, di bawah penstrukturan tersebut, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.
“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN.
“Adalah satu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama, kerana kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Walaupun ia tidak akan mungkin, pasukan kebangsaan kita akan terus bermain untuk mempertahankan maruah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marti berkata, beliau mahu semua pemain terutamanya prospek muda menikmati kejohanan tersebut dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami.
“Mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan dalam kejohanan terakhir kami ini.
“Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.
Di bawah kendalian Marti sejak Ogos lalu, menyaksikan Harimau Malaya meraih tiga kemenangan satu seri dan tewas sekali kepada New Zealand. – Edisi 9