DEWAN Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) secara berbelah bahagi dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju, 40 menolak manakala 122 tidak hadir.
Undian bagi Rang Undang-Undang (RUU) tersebut dibuat selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas membuat penggulungan di Parlimen.
Seramai 24 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut.
Dalam ucapan penggulungannya, Fahmi berkata, Seksyen 233 dalam Akta 588 tersebut tidak dimansuhkan bagi mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersil terutama penjualan pornografi dan pedofilia.
“Khususnya mengenai Seksyen 233, kita mahu mencari keseimbangan di antara menghalang penjenayah terutama penjenayah seksual terhadap kanak-kanak, itulah garis merah yang kita telah gariskan dan juga penjenayah yang menjual beli bahan pornografi dengan tujuan komersial.
“Bagi kedua-dua kesalahan ini, kita tegaskan hukuman yang perlu adalah lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, menerusi Facebooknya, Fahmi berkata, RUU Akta 588 (Pindaan 2024) itu bukan sekadar menawarkan reformasi kawal selia yang menyeluruh tetapi juga memberikan satu jaminan keselamatan kepada pengguna internet Malaysia.
Menurut beliau, ini terutamanya dalam melindungi data dan transaksi harian daripada pelbagai kemudaratan dalam talian termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
“Semenjak penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588] pada 1 April 1999 iaitu lebih 26 tahun yang lalu, ketersediaan dan penawaran pelbagai jenis perkhidmatan dalam talian pada hari ini telah merubah gaya hidup rakyat Malaysia secara drastik,” katanya hari ini.
Fahmi berkata, pelbagai inovasi produk dan perkhidmatan yang dipacu oleh teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) telah meningkatkan tahap kebergantungan pengguna kepada teknologi dalam urusan harian, komersial dan hiburan.
“Kerajaan terus komited dalam membanteras jenayah dalam talian seperti pelbagai bentuk penipuan (scam) yang termasuk kandungan judi dalam talian, ancaman buli siber dan jenayah seksual kanak-kanak seperti pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” katanya. – Edisi 9