KERAJAAN hari ini menambah kuota program Net Energy Metering (NEM) untuk kategori domestik atau NEM Rakyat sebanyak 50 megawatt (MW) susulan kuota yang diperuntukkan bagi tahun ini telah habis dipohon.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dengan jumlah kuota tambahan itu, menjadikan jumlah kuota bagi NEM Rakyat ialah sebanyak 450MW sejak diperkenalkan pada 2011.
Katanya, permohonan bagi NEM Rakyat tambahan itu boleh dibuat mulai hari ini.
Selain itu, PETRA berkata, bagi menyokong usaha syarikat korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dari aspek pembekalan elektrik hijau, kuota kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditingkatkan sebanyak 300MW lagi kepada 1,400MW.
“Memandangkan sambutan yang menggalakkan, PETRA telah memutuskan untuk menambah kuota untuk NEM Rakyat dan NEM NOVA agar lebih ramai pengguna boleh memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
“Pertambahan kuota ini juga selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan program NEM kepada 30 Jun 2025,” kata PETRA dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata, garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my manakala maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM boleh didapati di laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.
Sementara itu, PETRA berkata, kerajaan juga mengambil perhatian akan pandangan umum bahawa hala tuju pelaksanaan pembangunan solar di bumbung bangunan yang lebih menyeluruh dan jelas perlu dimaklumkan kepada pemegang taruh bagi memudahcara urusan komersial.
Katanya, perkara tersebut telah pun diteliti dan pemakluman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas kesemua aspek yang berkaitan telah dimuktamadkan.
“PETRA sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) yang diperkenalkan adalah inklusif, adil dan memberikan manfaat kepada semua rakyat.
“Sehubungan itu, inisiatif TBB menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan ini kelak akan dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh ke arah mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan telah memperuntukkan kuota NEM Rakyat sebanyak 350MW sehingga 31 Disember ini.
Bagaimanapun ia sudah habis dilanggan pada September lalu disusuli dengan pengumuman kuota tambahan sebanyak 50MW, yang mana ia telah habis dilanggan semalam.
Sehubungan itu pengguna dan pihak industri menggesa kerajaan melakukan sesuatu termasuk menambah kuota berkenaan selari dengan pengumuman dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu bahawa program NEM akan dilanjutkan hingga 30 Jun 2025. – Edisi 9