22.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 19, 2025

JAIS pandang serius kes dera, seksual di sekolah agama swasta

Mesti Baca

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) memandang serius beberapa kes melibatkan penderaan fizikal dan seksual membabitkan pelajar sekolah agama swasta di negeri itu.

Sehubungan itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengingatkan bahawa pihaknya tidak teragak-agak menamatkan pendaftaran sekolah yang terbabit mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001).

Malahan beliau berkata, JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama.

“Kes terbaharu yang tular melibatkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual, jika benar berlaku, ia suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam.

“Mendidik dalam Islam sangat dekat dengan sikap para guru, hati nurani guru untuk mendidik dengan ikhlas dan sabar, bersangka baik kepada pelajar dan sentiasa mendoakan pelajar dalam apa juga keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa kes melibatkan penderaan fizikal dan kes seksual melibatkan pelajar sekolah agama swasta sangat mendukacitakan dan sangat terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam. 

Katanya, para pendidik sepatutnya memberi contoh teladan yang baik kepada para pelajar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik. 

Advertisements

“Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar,” katanya.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memerhati perkembangan anak-anak dari semasa ke semasa.

Ini supaya kelainan sikap dan tingkah laku anak-anak yang dikesan di peringkat awal dapat dihadapi dengan langkah-langkah yang sesuai dan tepat.

Seterusnya, kata beliau, ia dapat mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan para pelajar. 

“Mengikut Seksyen 8 enakmen, pihak sekolah swasta adalah tertakluk untuk didakwa dan mendakwa. 

“Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Terbuka India: Izzuddin-Sze Fei wakil tunggal Malaysia ke ‘final’

AKHIRNYA kem badminton negara boleh melakar senyuman di Kompleks Sukan Indra Gandhi, New Delhi apabila Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze...

Lagi Artikel Berkaitan