SKUAD Harimau Malaya terbang ke Auckland malam ini dengan membawa 26 pemain bagi mengharungi perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Newsl Zealand pada 14 Oktober ini.
Pengendali Pau Marti bagaimanapun berkata, trip ke Auckland itu tanpa kelibat kapten pasukan Dion Cools yang tidak dapat bersama atas urusan keluarga.
“Perlawanan ini memberikan satu peluang yang cukup berharga kerana New Zealand berada di kedudukan ke-95 dunia.
“Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap Cools dapat kembali pada jendela antarabangsa FIFA seterusnya, November depan,” kata Marti menerusi kenyataan hari ini.
Skuad Harimau Malaya berlepas lebih awal ke Auckland untuk memulakan kem latihan pusat di sana dan memberi tempoh seminggu penuh untuk persediaan sebelum perlawanan menentang New Zealand.
Selain itu, katanya, pasukan kebangsaan juga akan menentang sebuah pasukan kelab utama untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 2 pada 11 Oktober sebagai persiapan yang berkualiti menjelang perlawanan tersebut.
“Tempoh latihan yang panjang ini juga adalah peluang untuk mengukuhkan lagi ikatan dan perpaduan dalam pasukan,” katanya.
Beliau berkata, FAM cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania, termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
Walau bagaimanapun, pasukan-pasukan tersebut mempunyai komitmen untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober.
Harimau Malaya akan bertemu India pada bulan depan dalam satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1. – Edisi 9