MALAYSIA memerlukan kerjasama erat dengan China dalam menangani isu perjudian haram dalam talian yang semakin membelenggu ekonomi global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap dalam Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global 2024 di Luanyungang, Jiangsu, China, Zahid berkata, langkah itu pasti membuahkan hasil yang signifikan.
Beliau berkata, ini terutama dalam membanteras sindiket jenayah perjudian dan penggubahan wang haram, meningkatkan keselamatan sosial dan mengurangkan ketagihan perjudian.
“Saya juga menekankan pentingnya penggunaan teknologi moden seperti pengecaman wajah dan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh keselamatan awam.
“Di Malaysia, kita telah memperkenalkan sistem NG999 yang menggunakan peta digital dan AI untuk mempercepatkan tindak balas kecemasan melalui penyelarasan bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti.
“Harapan saya, agar kita semua terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran keselamatan global dan memperkukuh perpaduan antarabangsa demi keamanan dan kesejahteraan dunia,” katanya.
Hadir sama dalam forum tersebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, Zahid memuji kepimpinan Presiden Xi Jinping melalui Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang telah membuka jalan kepada kerjasama keselamatan antarabangsa yang lebih kukuh.
Beliau berkata, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, hubungan erat antara kedua-dua negara terus memainkan peranan penting dalam usaha bersama memerangi jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber dan penyeludupan dadah.
“Malaysia dan China juga telah menandatangani perjanjian penting untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah global,” katanya. – Edisi 9