24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Kanak-kanak dari rumah amal GISBH di tempat selamat – Nancy

Mesti Baca

KESEMUA kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) Rabu lalu kini ditempatkan di lokasi selamat di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jaminan tersebut diberikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berikutan banyak pihak yang bertanyakan kedudukan lebih 400 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Ops Global itu.

“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak dan tugas JKM dalam hal ini adalah memberi perlindungan, penjagaan dan sokongan sewajarnya kepada kanak-kanak yang diselamatkan agar mereka tenang, selesa dan rasa selamat.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya. Kebajikan mereka kami jaga dengan baik,” katanya hari ini.

NANCY SHUKRI

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin  Hussain berkata, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.

Beliau berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan. 

Katanya, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Advertisements

Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun.

Semalam, Razarudin berkata, 13 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal dikaitkan dengan GISBH tersebut memiliki rekod pernah diliwat.

Beliau berkata, seramai sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala bakinya pada fasa sebelumnya.

Sementara itu, Nancy berkata, beliau amat menghargai keprihatinan orang ramai terhadap keadaan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pihak PDRM untuk menyampaikan maklumat lanjut mengenai operasi tersebut.

“Terima kasih kepada orang awam, NGO dan semua yang telah menyuarakan keprihatinan terhadap kebajikan kanak-kanak ini. 

Sokongan anda semua amat dihargai, dan kami akan terus menjalankan tanggungjawab demi kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan