24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

JAIS tubuh pasukan siasatan khas pantau pusat tahfiz

Mesti Baca

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat semua pusat tahfiz dan sekolah agama di negeri itu bagi membasmi unsur eksploitasi kanak-kanak serta agama Islam.

Pasukan siasatan khas yang dipengerusikan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad itu bagi menjamin kesucian agama Islam dari anasir jahat dan sesat yang memudaratkan umat Islam.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan, JAIS telah diarahkan menjalankan pemantauan rapat, semakan dan saringan ke atas pusat tahfiz serta sekolah agama sama ada berdaftar atau belum berdaftar dengan jabatan agama itu.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor komited memastikan keselamatan pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama daripada menjadi pusat eksploitasi kanak-kanak dan sebaran ajaran yang bercanggah dengan Islam.

“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengenakan penguatkuasaan tegas kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang didapati terlibat dengan unsur-unsur berkenaan untuk menjamin keselamatan para pelajar.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat tahfiz yang mengamalkan perkara-perkara salah boleh tampil melaporkan terus kepada JAIS di talian hotline 1800 88 2424,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohammad Fahmi turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAIS atas tindakan tegas dan segera dalam menangani perkara itu.

Advertisements

“Saya berharap agar siasatan diteruskan secara profesional dan tindakan tegas segera diambil untuk kesalahan-kesalahan yang berjaya dibuktikan,” katanya.

Rabu lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki serta 201 perempuan.

Beliau berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Menghuraikan sejarah perjalanan GISBH, Razarudin berkata, operasi kumpulan itu sudah melebihi 10 tahun selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selepas pengharaman Darul Arqam, katanya, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disususli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan