KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan rakyat kawasan itu mahukan kesinambungan kepimpinan Allahyarham Syarifah Azizah Syed Zain mewakili mereka.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini terbukti apabila calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini dengan majoriti besar, iaitu 20,648 undi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, kemenangan Syed Hussien juga menunjukkan bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memimpin dan meneruskan segala usaha baik yangtelah dirancang sebelum ini.
“Selain itu, kejayaan ini juga menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah BN, yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Rakyat amat menghargai usaha dan sinergi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin dengan penuh kebijaksanaan dan dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam PRK DUN Mahkota yang berlangsung hari ini, Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang memperoleh 27,995 undi mengatasi Mohamad Haizan Jaafar (Perikatan Nasional – PN) yang memperoleh 7,347 undi.
PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Syarifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lalu.
Azalina berkata, beliau yakin dan percaya Syed Hussien akan menjalankan tugas dan tanggung jawab kepada rakyat Mahkota dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kejayaan tersebut.
Ucapan sama ditujukan kepada seluruh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan yang sangat komited dalam memastikan kemenangan Syed Hussien.
“Terima kasih kepada para pengundi DUN Mahkota kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada BN.
“Amanah ini akan kami junjung dan diterjemahkan kepada khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat Mahkota,” katanya. – Edisi 9