27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

TMP murka terhadap Muhyiddin, mahu tindakan tegas diambil

Mesti Baca

TENGKU Mahkota Pahang (TMP), Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Titah baginda, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah ayahanda baginda tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri Ke-10.

Baginda bertitah, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

“Justeru, saya mahu pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kenyataan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz, Kuantan itu dimuatkan dalam instastory milik baginda.

Menjelaskan perkara itu, Tengku Hassanal bertitah, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara. 

Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda.

Advertisements

Sebaliknya, titah TMP, Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. 

“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah semasa Baginda memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut  menasihati semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat agar sentiasa berpegang teguh kepada Prinsip Rukun Negara secara berterusan bagi sentiasa menyatupadukan rakyat.

Ini agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia.

Sebelum ini tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15.

Beliau berkata, sokongan yang diperoleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.

“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong titah siasatan segera, menyeluruh isu rumah amal GISBH

YANG di-Pertuan Agong,  Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta...

Lagi Artikel Berkaitan