Tuesday, July 21, 2026

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Audit, libatkan lima prinsip

Mesti Baca

RANG Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini setelah bacaan kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.

Jabatan Audit Negara (JAN) berkata, pindaan Akta 62 itu melibatkan lima prinsip berkaitan kewujudab peruntukan baharu dan pindaan sedia ada.

Antaranya ialah pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk Jaminan Kewangan dan pengauditan melalui pendekatan Follow The Public Money Audit, tertakluk kepada Menteri Kewangan atas dasar kepentingan awam.

Selain itu, akta tersebut turut mewujudkan peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu dan suai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62 selain kuasa Ketua Audit Negara untuk membuat syor menangani apa-apa ketakteraturan yang serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya.

Pindaan itu juga memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk melaksanakan susulan audit terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan oleh Ketua

Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Awam atau badan yang ditentukan.

“Pindaan Akta Audit 1957 ini akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam di samping memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan, serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

JAN berkata, Akta Audit 1957 [Akta 62] sedia ada tidak dipinda sejak 1991 dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.

Ia juga bertujuan memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang melalui tiga pengauditan utama.

Ini melibatkan pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Audit 1957 itu dipinda bagi mewujudkan kuasa baharu dan peluasan tugas JAN.

Beliau berkata, pindaan itu juga akan memberi penambahbaikan aspek perjalanan kuasa dan pelaksanaan mandat Ketua Audit Negara. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan