SIASATAN kes penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) kini di peringkat akhir.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Edisi 9 hari ini.
“Siasatan sudah di peringkat akhir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Eksklusif Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Editor Media Online di Putrajaya.
Tahun lalu, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung salah guna kuasa kes penjualan tanah kerajaan Terengganu sebelum tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ditetapkan.
Azam berkata, siasatan dibuat setelah menerima aduan berhubung wujud salah guna kuasa berkaitan penjualan sebidang tanah di kawasan bandar di Batas Baru kepada Khairunnisa’.
Berdasarkan laporan media, tanah seluas 11,299 meter persegi di Batas Baru bernilai RM29.3 juta itu dijual kepada persatuan tersebut pada harga RM500,000 sahaja.
”SPRM sedang melakukan dua kes berhubung tanah dijual yang diadukan mengatakan ada salah guna kuasa, pertama tanah yang dijual berhubung badan kebajikan ke persatuan isteri Exco, yang itu masih dalam siasatan.
“Kedua jual kepada Exco kemudian jual kepada badan lain lagi. Kedua-duanya kita ada buka kertas siasatan. Kita masih jalankan siasatan.
“Jadi jangan paksa kami siap (kertas siasatan) sebelum PRN pula, siasatan kita jalan cara adil, belum siap lagi apapun,” kata Azam seperti dilapor media.
Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap penjualan tanah kerajaan negeri kepada Khairunnisa’ bukanlah satu isu.
Beliau menjelaskan, segala prosedur yang ditetapkan dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan.
Katanya, isu tersebut sengaja ditimbulkan dan disensasikan pihak tertentu kerana pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir (ketika itu). – Edisi 9