SEBUAH bot nelayan asing cuba menyeludup keluar 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan pada pukul 1.10 tengah hari pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika barat daya Tanjung Gaban, Morib.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 42 individu yang dipercayai warga Indonesia iaitu 30 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia satu tahun bersembunyi di bawah kanvas berwarna biru di dalam bot.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu melakukan penyeludupan migran dan keluar daripada Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua yang ditahan bersama bot dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. – Edisi 9

