33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Vern’s jawab isu logo mirip kalimah Allah pada tapak kasut

Mesti Baca

PENGURUSAN Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Memetik laporan BH Online, syarikat itu menjelaskan, mereka tiada niat untuk menghasilkan reka bentuk logo bertujuan memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Dalam satu kenyataan kepada media tersebut, syarikat itu berkata, logo tersebut 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

“Pihak kami telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut,” kata kenyataan itu seperti dilapor BH Online.

Sebelum ini, pasangan suami isteri terkejut apabila mendapati sepasang kasut jenama tempatan yang dibeli bagi persiapan hari raya didakwa mengandungi corak mirip kalimah Allah pada tapak kasut tersebut.

Pasangan tersebut menerusi satu rakaman video mendakwa, kasut tersebut dibeli di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang pada 31 Mac lalu tetapi baru tergerak untuk memeriksanya hari ini.

Advertisements

Bagaimanapun, katanya, selepas diteliti ternyata corak pada bahagian tapak kasut tersebut dengan jelas tertera kalimah Allah.

Sehubungan itu, pihak pengurusan Vern’s Holding memohon kemaafan kepada semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang memberi tempoh 24 jam kepada syarikat berkenaan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

“Alhamdulilah penjelasan dari syarikat Vern’s telah diberikan.

“Salah faham telah terungkai bahawa ia bukanlah kalimah Allah, tetapi ia adalah logo kasut bertumit tinggi dan syarikat juga telah menghentikan pengeluaran kasut ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat atas penjelasan yang memberikan kelegaan kepada semua umat Islam,” katanya menerusi Facebook beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MB Perlis ditahan SPRM bantu siasatan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan dakwan salah guna...

Lagi Artikel Berkaitan