31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Dua anggota Maritim Malaysia cedera dalam kejadian tembakan

Mesti Baca

DUA anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera selepas berhadapan kejadian tembak menembak di perairan Kunak, Sabah kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, mangsa terbabit ialah Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga ketua bot Banggi 48 cedera di mata kiri.

Manakala seorang lagi kru bot yang sama, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan pihak penjenayah.

Empat lagi anggota penguat kuasa yang berada dalam bot berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

Advertisements
Lokasi kejadian tembak menembak antara anggota Maritim Malaysia dan penjenayah di perairan Kunak, Sabah.

“Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

“Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur menggerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.

Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak bagi diberikan rawatan segera. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan