29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Rancang pembangunan saksama di semua negeri – Sultan Ibrahim

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah, sekiranya semua negeri dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

“Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri ke Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandar raya yang semakin padat.

“Persoalannya, adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada Kamarulzaman Mat Salleh.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Advertisements

“Semua orang tahu saya suka memandu sendiri, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan persekitaraannya. Apa yang saya nampak, masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kebersihannya tidak memuaskan,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda, bertitah masyarakat kota juga perlu bersama-sama dalam menjaga kebersihan dan alam sekitar.

“Kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Kepada penguatkuasa, jalankanlah tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, pada Istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 33 individu bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Mendahului senarai penerima darjah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) membawa gelaran Datuk Seri.

Pada istiadat itu juga, seramai lapan individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, didahului Datuk Dr Ching Thoo Kim, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Datuk Dr Hanif Hussein Pakar, Perunding Kanan Pembedahan Vaskular dan Ketua Jabatan Pembedahan Am Hospital Kuala Lumpur dan Datuk Ramlee Yatim Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.

Turut dikurniakan PMW ialah Datuk Dr Alias Rameli, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa; Datuk Alauddeen Abdul Majid, Ketua Polis Kuala Lumpur; Datuk Rashidah Mohd Sies, Mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Datuk Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP dan Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Eksekutif Institute of Strategic and International Studies (ISIS).

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW) kepada lapan individu, manakala lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), Sementara itu lima individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan seramai enam individu pula menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan