33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Bangkai helikopter Maritim Malaysia berjaya dibawa naik

Mesti Baca

BANGKAI helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang telah melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa pagi semalam berjaya dibawa naik pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Operasi membawa naik helikopter dengan nombor pendaftaran M72-01 itu dilakukan dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin, helikopter berkenaan kemudian dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Untuk rekod, helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang telah diterima daripada pihak Kerajaan pada tahun 2010.

“Mencatat rekod hampir 5,000 jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, helikopter AW139 dengan pendaftaran pesawat M72-01 milik Maritim Malaysia dilapor melakukan pendaratan cemas di dalam laut di Perairan Pulau Angsa, Selangor kira-kira pukul 9.55 pagi.

Pesawat tersebut diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut berada di dalam helikopter berkenaan ialah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Advertisements

Hamid berkata, helikopter itu juga banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

Katanya, antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah pesawat berkenaan telah berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022, 3 batu nautika daripada lokasi insiden.

“AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu,” katanya.

Selain kejayaan tersebut, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

Sementara itu, Hamd berkata, empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Maritim Malaysia semalam.

“Maritim Malaysia turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan