AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) komited untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara supaya terus menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, banyak wakil negara yang berminat untuk menjalin kerjasama bersama Malaysia dalam sektor pendidikan tinggi kerana keyakinan mereka terhadap kualitinya.
Katanya, perkara itu dinyatakan oleh wakil kedutaan dan negara yang hadir pada program libat urus Menteri Pendidikan Tinggi bersama perwakilan negara luar, baru-baru ini.
“Kira-kira 100 duta dan wakil negara yang hadir untuk mendengar perkongsian dan berdialog dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan wakil agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Kehadiran ramai duta dan wakil negara itu membuktikan minat mereka terhadap pendidikan tinggi Malaysia dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya terutama mengenai aspek kualiti dan inisiatif kita lakukan, ini memberi ruang besar kepada kita untuk mempromosi pendidikan tinggi negara,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, selepas sesi dialog itu, ramai dalam kalangan wakil negara bertemunya untuk menjalin kerjasama dengan MQA berteraskan pendekatan pengiktirafan bersama antaranya dari India, Yaman, Libya dan Jordan.
Beliau berkata, MQA akan bekerjasama dengan badan akreditasi di luar negara supaya mempunyai persetujuan mana-mana program IPT Malaysia yang sudah menerima akreditasi MQA akan diterima pakai oleh mereka dan begitulah sebaliknya.
Katanya, MQA selaku badan tunggal yang menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi akan sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menawarkan program yang menepati citarasa pelajar antarabangsa.
“Di MQA, kita sentiasa memastikan kualiti pendidikan tinggi negara berada pada tahap terbaik kerana itulah antara indikator utama mengapa pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian mereka.
“Semua inisiatif ini selaras dengan fokus Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dalam ucapan menteri pada Landasan Tahun Baru KPT 2024 dan sesi libat urus bersama perwakilan negara luar,” katanya. -Edisi 9