28.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Kerajaan lulus tambahan 186 Pusat Ekonomi Digital – Anwar

Mesti Baca

KERAJAAN meluluskan tambahan sebanyak 186 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kepada 1,097 di seluruh negara menjelang tahun ini, berbanding 911 pusat setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut merupakan salah satu ikhtiar kerajaan untuk mendepani masalah kesenjangan digital dan pendapatan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, PEDi tersebut akan menjadi pusat sehenti penggunaan jalur lebar bagi kawasan-kawasan yang kurang mendapat perhatian.

“Transformasi digital adalah agenda penting dalam usaha menterjemah wawasan kerangka Ekonomi MADANI.

“Tahap penguasaan ilmu dalam bidang baharu mesti cepat digarap dan dikuasai agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus deras perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Tasik Gelugor, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Advertisements

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan dan pengoperasian 38 PEDi baharu di negeri itu dengan peruntukan sebanyak RM47 juta.

Ini menjadikan jumlah PEDi yang ada di Pulau Pinang bertambah kepada 41 pusat di seluruh negeri.

“Saya yakin rakyat terbanyak pasti mendapat manfaat dan memanfaatkannya agar masyarakat lebih kendiri dan maju,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, PEDi dijangka dijenamakan semula menjelang suku kedua tahun ini dengan melibatkan perubahan pada nama dan fungsinya.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi melihat penjenamaan baharu itu perlu dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan di lapangan yang mendapati orang ramai hadir ke PEDi untuk pelbagai aktiviti yang tidak melibatkan ekonomi digital.

Menurut beliau, ramai yang datang ke PEDi untuk mendapatkan pelbagai maklumat, antaranya mengenai geran, bantuan serta perkhidmatan kerajaan, dan ada juga PEDi yang turut melaksanakan fungsi sebagai pejabat pos.

“Bukan sekadar tukar nama, tetapi tukar fungsi sekali, sebab kita nampak contoh, pendaftaran PADU (sistem Pangkalan Data Utama).. ia dari satu sudut bukan ekonomi digital, (tetapi) ia memanfaatkan prasarana yang ada, untuk akhirnya memberi bantuan kepada rakyat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan