Tuesday, July 21, 2026

Imigresen gempur penempatan haram, tahan 132 PATI

Mesti Baca

SEBUAH penempatan haram di Setia Alam, Shah Alam digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan awal pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, mereka yang ditahan termasuk 41 wanita, sembilan kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan menerusi operasi selama kira-kira dua jam yang bermula pada pukul 2.38 pagi ini.

“Dalam operasi itu, seramai 156 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 132 ditahan.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 130 warga Indonesia dan dua warga Bangladesh,” katanya selepas mengetuai operasi tersebut di Shah Alam.

Turut serta Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Jafri Embok Taha ketika sidang media selepas operasi dijalankan.

Jafri berkata, seramai 220 anggota terlibat dalam operasi tersebut yang turut membabitkan pelbagai agensi lain.

Mereka terdiri daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Selangor, Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Jafri berkata, kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Ketika serbuan ada yang cuba meloloskan diri namun gagal,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan