30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

3 tahun jadi gelandangan, komposer terkenal bagai hidup semula

Mesti Baca

SETELAH tiga tahun hidup merempat di jalanan sebagai gelandangan, bekas komposer terkenal Ross Ariffin akhirnya bagai mati hidup semula apabila mendapat sebuah rumah untuknya berteduh.

Bahkan pemilik nama Roslan Ariffin Jamil itu kini dapat berkarya semula apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil bersetuju untuk membawanya kembali bekerja di RTM.

Menurut Fahmi, Ross Ariffin, 62, yang pernah mengecap kegemilangan di persada industri muzik tanah air menerusi lagu-lagu ciptaan beliau yang dinyanyikan oleh artis-artis tersohor seperti Datuk Siti Nurhaliza, Aishah, Ning Baizura, Jacklyn Victor dan Fauziah Latiff.

“Namun, hidup ini ibarat roda, kadang kita diuji dengan cabaran yang tidak pernah kita fikirkan.

“Saya terbaca mengenai kisah Ross Ariffin menjadi gelandangan di Media Sosial dan saya terpanggil untuk mengenali beliau dengan lebih dekat untuk cuba membantu,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Kisah Ross Ariffin dari seorang komposer muzik terkenal yang kemudian menjadi gelandangan tular menerusi media sosial.

Fahmi berkata, setelah bertemu, Ross telah menceritakan kisah sedih beliau makan di jalanan, kadang-kadang menjamah sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja atau kadangkala tiada langsung makanan seharian sampai ke malam.

Bahkan komposer itu juga pernah mengalami serangan strok sebanyak dua kali manakala tangannya pula pernah patah dan masih belum sembuh.

Advertisements

“Kesengsaraan beliau sebagai gelandangan hingga ke tahap jatuh menggigil dan pengsan akibat berada di tengah hujan terlalu lama.

“Beliau sendiri menjangkakan hayatnya akan berakhir di situ. Namun, Allah SWT juga yang merencanakan segalanya,” katanya.

Fahmi berkata, beliau berusaha untuk membantu Ross dengan mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur hasil usaha Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Ross Ariffin dapat bermain semula piano selepas tiga tahun.

Beliau katanya, turut bertemu Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhazni Ismail bagi merancang penerbitan lagu-lagu baharu yang boleh digubah oleh Ross.

“Buat pertama kali selepas tiga tahun menjadi gelandangan, Ross berpeluang untuk duduk di depan sebuah grand piano dan jari-jemarinya terus lincah meneroka papan kekunci.

“Saya sendiri berasa terharu melihat seorang komposer legenda melepaskan rindu bermain alat muzik,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kasino di Forest City: Chegu Bard ditahan reman dua hari

BADRUL Hisham Shaharin atau Chegu Bard direman susulan membuat hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan...

Lagi Artikel Berkaitan