27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Seri dengan Korea, Harimau Malaya dapat pujian PM, TPM

Mesti Baca

BIARPUN tidak berjaya mengiringi Thailand dan Indonesia ke pusingan 16, skuad Harimau Malaya mendapat pujian menggunung daripada pelbagai pihak ekoran kejayaan mengikat Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gembira dengan keputusan tersebut berharap ia menyuntik semangat pasukan negara untuk terus beraksi cemerlang selepas ini.

“Tahniah Harimau Malaya beri tentangan sengit kepada Korea Selatan. Terima kasih dari seluruh rakyat Malaysia. Teruskan perjuangan kalian selepas ini, usah menyerah kalah,” kata beliau menerusi Facebook sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan 3-3.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kejayaan skuad bimbang Kim Pan-gon membawa pulang satu mata dengan tiga jaringan dari Qatar amat bermakna bagi negara.

Malahan, beliau berharap kejayaan tersebut dapat dijadikan titik tolak kejayaan yang lebih besar bagi skuad Harimau Malaya selepas ini.

“Membawa pulang mata pertama Piala Asia dengan 3 jaringan yang amat bermakna. Sama-sama kita doakan agar Piala Asia 2023 ini menjadi titik tolak kepada kejayaan bola sepak yang lebih besar buat pasukan Harimau Malaya!,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula berkata, keputusan seri menentang Korea Selatan merupakan hadiah terbesar kepada peminat Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah penamat sebaliknya lebih banyak tugas yang perlu dilakukan selepas ini terutama bagi memastikan skuad Malaysia kembali ke pentas Piala Asia selepas ini.

Advertisements

“Harimau Malaya mencorak prestasi kami di pentas Asia. Kami mempunyai banyak lagi kerja di hadapan kami. Esok kerja bermula semula. Malaysia akan kembali ke Piala Asia akan datang!

“Keputusan seri menentang Korea ini merupakan hadiah terbesar kepada peminat Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia. Apabila kita meletakkan hati dan jiwa kita ke dalam semua yang kita lakukan, dunia akan melihat,” katanya.

Bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap keputusan menentang Korea Selatan menjadi titik tolak peningkatan prestasi skuad negara.

Katanya, seperti juga rakyat Malaysia yang lain, beliau hanya mengharapkan Harimau Malaya bermain dengan kemas dan sistematik di pentas Piala Asia yang kali pertama disertai secara merit dalam tempoh 43 tahun.

“Macam yang saya kongsi sebelum Piala Asia 2023, saya cuma harap Malaysia bermain dengan kemas dan sistematik. Kalah menang, kalau dah main sepenuh jiwa, kita boleh terima walau apa pun keputusan perlawanan.

“Syabas Harimau Malaya, semoga keputusan ini menjadi titik tolak peningkatan prestasi skuad negara,” katanya.

Dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Malaysia kecundang 0-4 ditangan Jordan sebelum ditewaskan Bahrain 0-1 dan menduduki tangga tercorot Kumpulan E, Piala Asia 2023.

Perjuangan Harimau Malaya selepas ini adalah dalam Kelayakan Piala Dunai 2026/Piala Asia 2027 yang mana skuad negara kini menduduki tangga teratas Kumpulan D hasil dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan