28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

NAG FC dakwa dua pegawai cedera, para pemain trauma

Mesti Baca

PENGURUSAN kelab bola sepak NAG FC mendakwa dua pegawainya mengalami kecederaan dalam insiden pergaduhan yang membabitkan pasukan itu dengan KESA FC ketika perlawanan Liga Bola Sepak Terengganu (TFL), Jumaat lalu.

NAG FC menerusi Facebook rasminya berkata, malahan para pemainnya yang terdiri daripada pasukan akar umbi yang sebahagian besar merupakan remaja belasan tahun masih trauma dengan kejadian tersebut.

Sehubungan itu, NAG FC berharap pihak pengurusan TFL dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit agar menjadi pengajaran kepada semua dan mengelak peristiwa tersebut berulang.

Katanya, pada kejadian di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak itu, kesemua pemain diberi peluang untuk bermain dan menikmati perlawanan.

“Kalah menang adat perlawanan. Dan jika menang adalah bonus bagi kami. Dua orang pegawai kami cedera dan pemain-pemain kami ada yg trauma dengan kejadian tersebut.

“Susulan daripada kejadian tersebut, laporan polis telah dibuat. Diharap pihak pengurusan TFL juga dapat mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka,” katanya, semalam.

Marzuki Sulong mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa TFL susulan insiden pergaduhan antara NAG FC dan KESA FC Jumaat lalu. – Foto: TFL

Pengurusan NAG FC berkata, pihaknya terkejut dan tidak menyangka kejadian tersebut berlaku pada penghujung perlawanan minggu keenam liga tersebut.

Katanya, pasukan mereka terdiri daripada hampir 80 peratus remaja belasan tahun dan terdiri daripada pemain akar umbi.

Advertisements

Beliau berkata, tujuan utama penglibatan pasukan itu dalam TFL adalah untuk memberikan pendedahan serta pengalaman kepada para pemainnya.

“Pada hari kejadian, semua pemain diberi peluang untuk bermain dan ‘enjoy the game’,” katanya yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-4 dalam perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, NAG FC berharap pihak pengurusan TFL dapat menetapkan sasaran umur pemain yang terlibat dalam liga tersebut agar seiring dengan syarat kelayakan iaitu untuk menyediakan lebih ramai pemain di peringkat pembangunan.

Sementara itu jawatankuasa TFL hari ini mengadakan mesyuarat tatatertib bagi membincangkan hal-hal berkaitan liga termasuk insiden pergaduhan membabitkan NAG FC dan KESA FC.

TFL menerusi Facebooknya berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.

“Mesyuarat ini membangkitkan hal-hal berkenaan TFL 2023 terutamanya insiden yang mengejutkan dalam perlawanan antara NAG FC dan KESA FC baru-baru ini.
“Laporan perlawanan tersebut juga telah dikumpulkan bagi mendapatkan maklumat penuh berkenaan situasi sebenar di tempat kejadian,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Pertandingan Tempatan PBSNT, Mohd Rashdi Hamat serta ahli-ahli jawatankuasa TFL. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan