25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

FAM sumbang kutipan tiket Kelayakan Piala Dunia kepada Palestin

Mesti Baca

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Sumbangan berjumlah RM34,284 itu adalah hasil kutipan jualan tiket pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia dan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 November lalu.

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman telah hadir di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur hari ini bagi menyampaikan cek sumbangan kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Mohd Firdaus berkata, FAM berharap dengan sumbangan berkenaan dapat meringankan beban serta penderitaan rakyat Palestin yang kini berdepan serangan ganas Israel.

“Ini adalah sebahagian dari usaha kami di FAM yang komited untuk melihat keadaan di Palestin menjadi lebih baik di masa hadapan.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan harapan kepada rakyat Palestin,” kata Mohd Firdaus.

Advertisements

Sementara itu, Walid Abu Ali menzahirkan ucapan terima kasih kepada FAM dan rakyat Malaysia yang teguh menyuarakan solidariti kepada Palestin.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang amat mengharukan. Terima kasih atas keprihatinan anda dan teruskan berdoa untuk mereka di Palestin,” katanya.

Skuad Palestin sepatutnya beraksi dalam Pestabola Merdeka pada Oktober lalu tetapi terpaksa menarik diri setelah negara itu diserang oleh tentera zionis Israel menyebabkan ramai rakyatnya termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban.

Palestin yang tetap beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar minggu depan berada dalam Kumpulan C bersama Iran, Emiriyah Arab Bersatu dan Hong Kong.

Manakala Malaysia yang kali pertama beraksi di Piala Asia secara merit selepas 42 tahun pula dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Mitsubishi Electric: Paulo Josue selamatkan ‘maruah’

PEMAIN naturalisasi, Paulo Josue menjadi penyelamat maruah skuad Harimau Malaya apabila dua jaringannya di separuh masa kedua berjaya membawa...

Lagi Artikel Berkaitan