PELARIAN pertama yang dipilih ke Parlimen New Zealand meletak jawatan hari ini susulan dakwaan mencuri barangan di kedai, yang didakwanya akibat tekanan peribadi dan trauma.
Golriz Ghahraman, Ahli Parlimen dari Green Party yang juga jurucakap keadilan parti itu sedang disiasat oleh polis selepas tiga dakwaan mencuri.
Beliau yang juga bekas peguam hak asasi manusia berkata tindakannya “bukan tingkah laku yang boleh saya jelaskan.”
Bagaimanapun Ghahraman mengakui dia gagal mencapai standard diharapkan daripada ahli politik dan memerlukan masa untuk menangani kesihatan mentalnya.
Tekanan yang berkaitan dengan kerja mendorongnya untuk bertindak dengan cara yang benar-benar tidak sesuai.
“Saya tidak cuba untuk memaafkan tindakan saya, tetapi saya mahu menjelaskannya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Pakar kesihatan mental yang saya jumpa menyatakan tingkah laku saya baru-baru ini adalah konsisten dengan peristiwa baru-baru ini yang menimbulkan tindak balas tekanan melampau dan berkaitan dengan trauma yang tidak diketahui sebelum ini.
“Saya telah mengecewakan ramai orang dan saya sangat menyesal. Ia bukan tingkah laku yang boleh saya jelaskan kerana ia tidak rasional dalam apa cara sekalipun, dan selepas penilaian perubatan, saya faham saya tidak sihat,” katanya.
Ghahraman, 42, kelahiran Iran, berpindah ke New Zealand ketika kecil bersama keluarganya yang diberikan suaka politik sebagai pelarian.
Selepas belajar undang-undang, dia menjadi peguam hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bekerja di tribunal jenayah antarabangsa sebelum memasuki Parlimen pada 2017.
Tuduhan mencuri merangkumi dua insiden yang didakwa di kedai pakaian mewah Auckland dan satu lagi di premis runcit pakaian Wellington, semuanya berlaku pada akhir tahun lalu.
Minggu lalu, Green Party mengumumkan Ghahraman menarik diri daripada tanggungjawab portfolionya sementara siasatan polis sedang dijalankan.
Pemimpin parti, Marama Davidson dan James Shaw, dalam satu kenyataan berasingan, berkata Ghahraman menjadi suara utama untuk hak asasi manusia tetapi “jelas kepada kami bahawa Ghahraman berada dalam keadaan tertekan yang melampau.”
“Dia bertanggungjawab dan meminta maaf. Kami menyokong keputusan yang dia buat untuk meletakkan jawatan,” katanya. -Agensi