26.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 14, 2025

UMNO dilihat tidak buat perubahan punca sokongan merosot

Mesti Baca

UMNO dilihat tidak melakukan perubahan sepertimana yang diharapkan menjadi sebab sokongan orang Melayu kepada parti itu merosot.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, atas sebab itu orang Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, orang Melayu juga tidak mempunyai alternatif lain melainkan memberi sokongan kepada PN sebagai tanda protes mereka kepada UMNO.

“Saya juga percaya, jika kepimpinan UMNO sedar apakah perubahan yang rakyat mahukan hari ini dan berusaha untuk melakukan perubahan tersebut, tidak mustahil sokongan mereka akan kembali semula kepada UMNO,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa Pas kini menjadi parti utama orang Melayu manakala UMNO ibarat kanser tahap lima dan menanti ajal.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang menyaksikan Pas menerusi calonnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Dr Akmal mengingatkan bahawa walaupun UMNO tewas di Kemaman namun parti itu menang dalam PRK Pelangai yang mana pengundinya hampir 70 peratus terdiri daripada orang Melayu.

Advertisements

“Ya betul sokongan orang Melayu terhadap UMNO kini berkurangan berbanding sebelum ini.

“Tetapi untuk menyatakan UMNO kini sudah tiada langsung tempat di hati orang melayu, bagi saya itu adalah tidak benar,” katanya.

Jelas beliau, Pas juga pernah mengalami kekalahan teruk sebelum ini tetapi parti itu tidak pernah dikatakan umpama kanser.

Malahan, katanya, adalah menjadi adat sesebuah parti politik, mesti ada masa naik dan turun.

Dr Akmal percaya rata-rata orang Melayu masih sayangkan UMNO tetapi kepercayaan mereka terhadap parti itu berkurangan atas sebab-sebab yang perlu pemimpin UMNO berani untuk lakukan perubahan.

Katanya, jika perubahan yang dilakukan kena pada kemahuan orang Melayu, beliau yakin UMNO akan kembali mendapat kepercayaan sepertimana sebelum ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

93,625 duduki ujian masuk MRSM, untuk isi 8,909 tempat 

SERAMAI 93,625 pelajar telah menduduki Ujian Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) untuk mengisi 8,909 tempat bagi pengambilan...

Lagi Artikel Berkaitan