29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Mek Mulung diiktiraf Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO

Mesti Baca

TEATER tradisi warisan Kedah Tua, Mek Mulung berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Keputusan itu dibuat dalam Sesi Ke-18 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) yang sedang berlangsung di Kasane, Botswana.

Penyenaraian yang cukup berprestij itu diputuskan oleh Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage UNESCO yang dianggotai oleh 24 negara anggota yang dipengerusikan oleh wakil negara Botswana.

Dengan keputusan tersebut, Mek Mulung menjadi warisan ke-82 di dunia yang diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan yang keenam di bawah kategori Memerlukan Perlindungan Segera.

Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, Mek Mulung merupakan salah satu seni persembahan tertua di Kedah yang telah diwarisi turun-temurun sejak tamadun awal Kedah.

“Sebagai tradisi yang berakar umbi di desa Wang Tepus, Kedah sejak lebih enam generasi, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dan meraikan seni warisan ini.

Advertisements

“Dari permulaannya yang sederhana sebagai sebuah teater rakyat, Mek Mulung kini akan dikenali ke seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara telah mencalonkan Mek Mulung kepada pihak sekretariat UNESCO pada 31 Mac 2022.

Roslan berkata, selain dapat mengetengahkan Mek Mulung di peringkat dunia, pengiktirafan itu juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di negara ini, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

Katanya, pengiktirafan UNESCO itu bakal meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan melindungi kelestarian seni dan warisan turun temurun tanpa mengira umur dan bangsa.

“Pengiktirafan ini juga akan memberikan galakan serta motivasi kepada golongan generasi muda termasuk pengamal seni dan warisan untuk berkecimpung dalam seni persembahan Mek Mulung dan seterusnya akan memangkin aktiviti kajian, pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan Mek Mulung,” katanya.

Selain Mek Mulung, enam lagi warisan negara yang diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO ialah Mak Yong (2005 dan 2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang bersama negara China (2020) dan Pantun bersama negara Indonesia (2020) serta Songket (2021). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agamawan perlu hormati bidang kepakaran dan autoriti hukum

Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI MUTAKHIR ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan...

Lagi Artikel Berkaitan